Thursday, July 24, 2008

SYEIKH SA'ID HAWWA

Syeikh Sa’id Hawwa tidak asing lagi bagi para pencinta gerakan Islam. Beliau merupakan ulamak dan tokoh dalam gerakan Ikhwan Muslimin. Nama penuh beliau ialah Sa’id bin Muhammad Daib Hawwa. Dilahirkan di kota Hamat, Syria pada tahun 1935. Penglibatan beliau dengan Ikhwan bermula sejak tahun 1952 iaitu ketika ia masih di Tahun Satu Sekolah Menengah. Pada tahun 1963 beliau tamat belajar di Universiti Syria. Di antara guru beliau ialah Syeikh Muhammad al-Hamid, Syeikh Muhammad al-Hasyimi, Syeikh Dr. Mustafa as-Siba’ie, Dr. Mustafa az-Zarqa dan ramai lagi.

Pada tahun 1973, beliau telah dipenjara selama lima tahun oleh pemerintah Syria (iaitu hingga tahun 1978) dan semasa dalam tempoh penjara itu beliau menulis tafsirnya yang terkenal iaitu Al-Asas fi at-Tafsir sebanyak 11 jilid. Syeikh Sa’id Hawa telah menghasilkan banyak karya penulisan yang menjadi rujukan kaum muslimin khususnya aktivis-aktivis Harakah Islamiyyah. Antara karya beliau ialah;
1. Allah Jalla Jalaluhu
2. Ar-Rasul
3. Al-Islam
4. Al-Asas Fi As-Sunnah (as-Seerah, al-‘Aqaid dan al-‘Ibadat)
5. Tarbiyatuna ar-Ruhiyah
6. Jundullah Saqafatan Wa Akhlaqan
7. Fi Afaqi at-Ta’alim
8. Fusul Fi al-Imrati Wa al-Amir
9. Hazihi Tajribati Hazihi Syahadati
10. Al-Mustakhlas Fi Tazkiyati al-Anfus

Antara sifat peribadi Syeikh S’aid Hawa yang menyebabkan beliau disegani kawan-rakan serta ulamak-ulamak sezaman dengannya ialah kezuhudan dan kewarakannya. Ustaz Zuhair asy-Syawisy dalam tulisannya tentang Sa’id Hawwa dalam harian al-Liwa’ yang diterbitkan di Jordan telah menceritakan; “….Saya pernah mengunjunginya di al-Ahsa’ ketika ia menjadi pengajar di al-Ma’had al-‘Ilmi. Saya tidak menemukan perabot di rumahnya kecuali sesuatu yang dapat memenuhi keperluan seorang yang hidup sederhana. Juga tidak saya temukan pakaian yang layak dipakai oleh ulama’ dan pengajar di negeri yang panas itu. Baju jubah yang dipakainya dari buatan Hamat yang kasar. Saya terus mendesaknya hingga ia mahu memakai beberapa pakaian putih dan ‘aba’ah (baju luaran) yang layak bagi orang seperti dirinya, tetapi ia mensyaratkan agar tidak terlalu longgar. Sedangkan makanannya, tidak lebih baik dari pakaian dan perabot rumahnya. Termasuk dalam kategori ini adalah sikapnya yang ‘mudah’ kepada orang-orang yang menerbitkan buku-bukunya baik yang telah mendapatkan izinnya atau tidak. Buku-bukunya telah dicetak berulang-ulang -dengan cara halal dan haram-, tetapi saya tidak pernah mendengar ia mempersoalkan hal tersebut. Ini termasuk sebahagian dari zuhudnya. Sesungguhnya akhlaq dan toleransi Sa’id Hawwa ini merupakan kebanggan dan teladan bagi orang lain. Inilah kesaksian yang dapat saya sampaikan.” (al-Liwa’, edisi 15/3/1989) Pada tahun 1987 M beliau diserang penyakit lumpuh di sebahagian badannya disamping penyakit-penyakit lainnya hingga terpaksa mengasingkan diri dari orang ramai dan kemudiannya dimasukkan ke hospital. Pada hari Kamis tanggal 9 Mac 1989, Syeikh Sa’id Hawwa kembali ke rahmatullah di Hospital Islam Amman, Jordan. Semoga Allah menempatkan beliau di tempat yang tinggi di dalam syurgaNya bersama para Nabi, para Siddiqin, Syuhadak dan Solihin.

2 comments:

BLC 2 said...

assalamualaikum ustaz.....
saya ingin bertanya ttg mazhab imam az-zahiri....
adakah ustaz boleh bantu saya mengetahui ttg latar belakang dan apakah khilaf antara beliau dgn ulama' lain?
harap ustaz dapat membantu saya..
syukran laka..

Izzan Fahat said...

Allahuakbar...